SEKINCHAN – Walaupun timbul isu kekurangan stok dan kenaikan harga beras, tetapi negara ini masih jauh daripada krisis.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemborong-pemborong Beras Semenanjung, Lin Mao Shun berkata, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana hasil tuaian pada Oktober akan melegakan keadaan.
Beliau menjelaskan, fenomena kekurangan beras adalah disebabkan oleh hasil tuaian beras tempatan yang kurang baik pada ketika ini dan juga peningkatan harga beras import
Katanya, produktiviti beras tempatan telah berkurangan susulan kawalan harga yang menyebabkan harganya kekal selama 15 tahun pada RM2.60 sekilogram.
“Walaupun kerajaan menyediakan subsidi, tetapi yang memperoleh manfaat hanyalah petani sedangkan pengilang perlu berdepan kenaikan kos dari segi bil elektrik dan air, gaji dan lain-lain.
“Keadaan ini menyebabkan pengusaha kurang bersemangat untuk berkecimpung dalam bidang ini,” katanya kepada Oriental Daily.
Mengenai penyelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, Mao Shun berkata, permintaan untuk beras dari kilangnya di Sekinchan, Selangor telah melonjak sejak pengumuman itu.
“Pengumuman yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) hanya menyentuh beras putih biasa dan harga untuk beras wangi adalah lebih tinggi.
“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi harga beras di seluruh negara memang sedang mengalami kenaikan, cuma beras tempatan sahaja yang tidak boleh naik harga,” katanya.
Sementara itu, China Press melaporkan, disebabkan kekurangan beras hancur di pasaran, semua produk makanan berkaitan termasuk mihun dan kuay teow mungkin mengalami kenaikan harga.
Menurut akhbar itu, kekurangan beras hancur memaksa pengusaha menggunakan beras biasa untuk membuat produk seperti mihun, sekali gus menyebabkan kenaikan kos.
“Pada bulan lalu, harga beras adalah sekitar RM150 untuk 50 kilogram manakala beras hancur adalah RM120 untuk 50 kilogram.
“Disebabkan kekurangan beras hancur pada masa ini, pengusaha memilih beras biasa.
“Pada masa yang sama, harga beras hancur sebenarnya juga telah meningkat mendadak kepada RM178 untuk 50 kilogram,” kata Presiden Persatuan Pembuat Roti, Kek, Biskut, Gula-Gula, Mi & Kuay Teow, Zeng De Xiang. – MalaysiaGazette