Ab Rauf menaiki bot untuk meninjau projek mendalamkan muara Sungai Melaka di ICQ, Kota Laksamana, Melaka sebagai persediaan menerima kekerapan feri membawa pelancong Indonesia menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.

MELAKA – Pelancong dari Indonesia boleh memasuki Melaka dengan kekerapan feri empat kali sehari menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia selepas kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Melaka di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Terminal Feri Antarabangsa Melaka- Dumai ICQ Kota Laksamana siap Januari depan.

“Sekarang ini, kekerapan feri dari Dumai adalah dua kali sehari dan dalam tempoh enam bulan, kita boleh terima sehingga empat kali feri sehari berdasarkan pasang surut air.

“Selepas itu, kita akan mempergiatkan kempen TMM2024 untuk membolehkan semakin ramai pelancong dan operasi bot atau feri ditambah di ICQ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek mendalamkan muara Sungai Melaka di ICQ berkenaan yang sudah pun dimulakan sejak lebih sebulan lalu.

“Kalau dilihat semua kemudahan di ICQ ini juga bertaraf antarabangsa malah kaedah pengurusan Imigresen dan Kastam juga memenuhi standard piawaian antarabangsa.

“Selepas ini kita akan merentasi Selat Melaka untuk membuat promosi TMM2024 kepada pelancong dari Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette