KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi di Jalan Pudu, Bukit Bintang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, aktiviti sindiket terbabit berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya 29 individu di dalam pejabat mewah yang dibayar dengan kadar sewa bulanan sebanyak RM17,400.
Katanya, kesemua yang berusia antara 23 hingga 53 tahun termasuk enam rakyat asing itu ditahan pada jam 3.40 petang.
Beliau berkata, polis turut merampas sejumlah telefon bimbit, komputer riba serta beberapa peralatan elektronik lain.
“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa di luar negara dan menjalankan operasi di pejabat terbabit kira-kira dua bulan.
“Siasatan mendapati semua individu itu mempunyai peranan antaranya sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan pelaburan forex, komoditi, saham, indeks dan mata wang kripto tidak wujud melalui medium live chatting (komunikasi secara langsung),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Noor Dellhan, siasatan mendapati bayaran gaji yang ditawarkan adalah antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan tidak termasuk komisen berdasarkan peranan yang diberikan.
Katanya, dua daripada mereka yang berperanan sebagai pengurus didapati mempunyai rekod jenayah manakala kesemua yang ditahan direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 120(B)/420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

















Walaupun syarikat scammer pelbagai jenis penipuan pelaburan tetapi nampaknya mereka sangat patriotik, banyak bendera2 dikibarkan menandakan semangat kemerdekaan yang mendalam.
Adakah mereka juga wajar dibebaskan dengan segera? Tanya je!