Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) anjuran Tabung Haji di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 09 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM -Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) secara berperingkat di seluruh negara bertujuan bagi mengekalkan semangat kemabruran haji selain merapatkan ukhwah dalam kalangan jemaah haji musim ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif program menghimpunkan jemaah musim haji 1444H itu bermula 5 Ogos sehingga esok dan dilaksanakan di 84 buah masjid terpilih.

Menurutnya, haji yang mabrur tidak hanya terbatas kepada melakukan manasik haji di Tanah Suci dengan sebaiknya, tetapi memerlukan jemaah haji untuk terus istiqamah setelah pulang ke tanah air.

“Apa sahaja amal ibadat yang dilakukan di Tanah Suci seperti solat berjemaah di masjid, solat-solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan sebagainya perlulah diteruskan dalam kehidupan seharian kita.

“Selain itu, semua jemaah haji diingatkan untuk mengekalkan imej ‘haji dan hajah’ dengan berperwatakan baik dan mencerminkan nilai-nilai murni dalam setiap perlakuan,” kata.

Beliau berkata demikian pada program HISHAJ peringkat Shah Alam di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH sentiasa komited untuk memastikan agenda bimbingan haji kepada para jemaah haji diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke masa.

“”Program seperti ini memberi peluang pembelajaran untuk TH berusaha menambahbaik kualiti perkhidmatan TH yang ditawarkan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi persediaan musim haji 1445H/2024M, TH telah menyusun program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-40 untuk membincangkan permasalahan dan isu ibadat yang timbul dalam kalangan jemaah haji Malaysia.

TH akan meneruskan bimbingan haji kepada bakal-bakal haji 1445H dengan penganjuran Kursus Asas Haji yang membicarakan 13 topik berkenaan haji di seluruh negara melibatkan hampir 200 buah masjid bermula Oktober depan. – MalaysiaGazette