Lubuk Yu yang terletak di Maran kini diwartakan sebagai Taman Negeri Lubuk Yu

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah di Chenor, Maran seluas 14,679 hektar sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Hutan Taman Negeri Lubuk Yu merupakan Hutan Taman Negeri keempat diwartakan di negeri itu.

“Keputusan ini diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang telah bermesyuarat pada Rabu lalu, 6 September 2023.

“Hutan Taman Negeri Lubuk Yu juga turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sebagaimana keperluan di bawah perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hutan taman negeri itu diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Melalui pengwujudan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu yang baharu itu, Pahang kini mempunyai Hutan Taman Negeri berstatus Hutan Simpanan Kekal seluas 55,249 hektar.

Menurut Wan Rosdy, ia akan mewujudkan zon penampan Taman Negeri selebar 1.5 kilometer dan menerusi pewartaan itu kelulusan pembalakan di kawasan tersebut dibatalkan. – MalaysiaGazette