Ab Rauf Yusoh

MELAKA – UMNO Melaka menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi (MT) parti untuk menentukan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau tidak terlibat dalam segala bentuk perbincangan malah sebarang keputusan terhadap bekas Exco Melaka itu adalah di luar pengetahuannya.

“Jailani sudah mengemukakan surat kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk dia dipecat dan itu dah jadi ‘public news’ (diketahui umum).

“Surat itu dia hantar terus ke ibu pejabat parti. Saya masih menunggu (keputusannya) pada mesyuarat MT Rabu ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas merasmikan Mustafa Jewellery di Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Jailani mahu UMNO memecatnya selepas menghadiri program pengenalan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ogos lalu.

Permohonan itu dibuat Muhammad Jailani dalam surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin UMNO seperti yang tular Rabu lalu. – MalaysiaGazette