Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra telah mengeluarkan arahan kepada Duta Besar Malaysia di Maghribi untuk membuat pemantauan secara berterusan dan melaporkan situasi di lokasi kejadian gempa bumi semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perkara yang menjadi kebimbangan pihaknya ketika ini adalah keadaan selepas beberapa gempa bumi susulan berlaku di kawasan itu.

Beliau telah meneliti secara dekat keadaan yang berlaku di Maghribi dan semalam telah mengadakan perbincangan dan menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan perkembangan terbaharu.

“Yang kami bimbang sangat sekarang adalah keadaan selepas beberapa gempa susulan yang berlaku di kawasan sana dan sehingga kini tiada angka kematian baharu tetapi dibimbangi adalab angka kematian semakin bertambah dan sehingga pagi tadi (Ahad) sudah 800 lebih terkorban.

“Tetapi dalam masa sama kita mengikuti rapat perkembangan terhadap keadaan rakyat Malaysia berada di sekitar kawasan-kawasan yang terkena kesan daripada gempa bumi ini

“Sehingga kini kita mendapati tidak ada rakyat Malaysia yang terkorban atau cedera. Bagaimanapun saya telah mengarahkan Wisma Putra memantau berterusan kerana nak tahu hasil daripada siasatan lanjutan runtuhan-runtuhan bangunan,” katanya ketika ditemui di Menara UMNO Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan Ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Zambry, fokus pihaknya kini tertumpu kepada rakyat Malaysia yang tidak mendaftar tentang keberadaan mereka di Maghribi.

“Setakat ini yang ada pada kita adalah nama-nama yang berdaftar dan kita pun berjaya menghubungi mereka.

“Tapi tidak daftar itu yang saya arahkan dan memberikan tanggungjawab kepada kedutaan kita sama ada rakyat Malaysia yang daftar atau tidak agar membuat pemantauan secara berterusan dalam beberapa hari ini serta melaporkan segera perkembangan tersebut.

“Kita doakan rakyat Malaysia semua selamat di sana dan begitu juga rakyat Maghribi yang menderita akibat gempa bumi itu,” tegasnya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam berkata tidak ada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam bencana gempa bumi besar yang melanda Maghribi termasuk Al Haouz dan Marrakesh.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Malaysia di Rabat juga sedang memantau rapat perkembangan semasa dengan angka kematian dijangka meningkat susulan ada mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Wisma Putra jug menasihati warga Malaysia yang berada di Maghribi agar tetap berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftar dengan kedutaan Malaysia dengan menghubungi misi tersebut di alamat 307, Rue Bani Yider Souissi 10000, Rabat, dan melalui nombor telefon (+212) 5 37 65 83 24 / (+212) 6 73 29 14 24 atau melalui emel di [email protected], tambah kenyataan itu.

Semalam gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter berlaku di beberapa kawasan di Maghribi termasuk Taroudant, Chichaoua, Tiznit, Marrakech, Azilal, Agadir, Casablanca dan Youssoufia.-MalaysiaGazette