Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuktikan rakyat negeri itu mahu terus maju di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kecemerlangan dan kemajuan hanya mampu dicapai dengan adanya sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Wanita UMNO Malaysia mengucapkan tahniah kepada dua calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman di atas kemenangan di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Keputusan dengan majoriti yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa kerjasama antara parti yang kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat.

“Wanita UMNO Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus berkempen untuk memastikan kemenangan ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Dalam PRK yang berlangsung semalam Suhaizan memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang memperoleh 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi dengan 528 undi.

Sementara Nazri menang dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi.

Beliau menewaskan calon PN Dr. Mohd. Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi dan calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.-MalaysiaGazdette

Kedua-dua calon tersebut merupakan ahli parti Amanah dan bertanding atas tiket Pakatan Harapan.-MalaysiaGazette