Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Melaka akan memastikan Bajet 2024 Melaka yang akan dibentangkan November ini merupakan jelmaan denyut nadi rakyat serta merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau akan mendengar semua pandangan, aspirasi dan cadangan secara langsung daripada rakyat, pengusaha industri setempat, pemimpin masyarakat serta jabatan dan agensi kerajaan.

Tambahnya, bajet itu akan menggariskan lapan fokus utama bagi melonjakkan tahap pencapaian ekonomi, menjana pertumbuhan yang lebih rancak dan mewujudkan kesejahteraan sosial.

“Ini termasuklah memastikan semua kelompok masyarakat khususnya golongan B40 dilindungi dengan fokus membangunkan Melaka sebagai pusat kecemerlangan Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Fokus lain adalah memperkasa sektor pelancongan melalui penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, negeri mesra pelabur, perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan dan menyegerakan pendigitalan 4G dan 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini hari ini.

Selain itu, Ab Rauf berkata, prestasi anak syarikat kerajaan negeri juga akan ditingkatkan, memperkasakan inisiatif di bawah pentadbiran Ketua Menteri serta membudayakan seni, warisan dan budaya negeri Melaka.

Mengulas lanjut, jelasnya sesi town hall ini adalah sebahagian inisiatif julung kali dilakukan Kerajaan Negeri bagi sama-sama mencapai aspirasi dan hasrat utama membangunkan negeri Melaka.

“Saya percaya, ini adalah platfom terbaik untuk mengumpulkan idea baharu dan segar sekali gus menyediakan bajet yang inklusif merentas keperluan pelbagai peringkat masyarakat negeri Melaka.

“Ini termasuklah penyaluran peruntukan bagi memastikan pembangunan ekonomi yang lestari tanpa berlaku sebarang pembaziran dan pembangunan yang sia-sia,” katanya.

Tambah beliau, segala input dan idea yang diterima sepanjang sesi townhall ini akan diperhalusi dan dipertimbangkan bagi penyediaan bajet tahunan Kerajaan Negeri mulai tahun 2024 dan tahun-tahun mendatang. – MalaysiaGazette