Kejadian kegagalan tambakan Projek Tebatan Banjir Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1)

KUALA LUMPUR – Kejadian mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh semalam disebabkan runtuhan cerun tambak di kawasan kerja-kerja tebatan banjir.

Ia berlaku kerana hujan lebat sejak tiga hari kebelakangan ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata, bagi memastikan keselamatan pengguna dan kelancaran aliran trafik, lorong arah barat telah ditutup keseluruhannya dan mengaktifkan laluan kontra pada jam 4.14 petang semalam.

“Sebagai langkah jangka pendek, syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad telah mengarahkan kontraktor untuk menutup kawasan rekahan dengan kanvas bagi mengawal hakisan.

“Penanda enapan akan dipasang bagi memantau pergerakan tanah dan aktiviti penyiasatan tanah secara komprehensif akan dilaksanakan segera,” kata LLM dalam kenyataan di sini hari ini.

Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan.

Laporan awal berhubung kejadian ini juga telah dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya dan laporan penuh sedang disiasat.

LLM berkata , laluan ini masih boleh dilalui oleh semua kenderaan dan para pengguna diminta untuk berhati-hati serta mematuhi papan tanda lalu lintas.

Bagaimanapun, sekiranya tiada keperluan mendesak, pengguna dinasihatkan untuk mengelakkan laluan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast