Dr. Pamela Yong

KUALA LUMPUR – Keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkau isu yang lebih besar melibatkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Dr Pamela Yong berkata, ia melibatkan tahap keyakinan rakyat terhadap BN termasuk parti-parti komponennya seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Ahmad Zahid sepatutnya mengambil peluang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini untuk memperjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan rakyat berhubung isu DNAA tersebut secara lebih mendalam dan tuntas.

“Sejujurnya, kami di pihak parti masing-masing seperti MCA juga menghadapi masalah untuk memperjelaskan kepada ahli masing-masing di seluruh negara.

“Tegasnya, jikalau isu ini tidak diuruskan dengan sebaiknya oleh UMNO, ia akan memberi kesan langsung yang besar kepada ‘survival’ BN termasuklah MCA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar daripada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi memanggil Peguam Negara susulan keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN diberi DNAA oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Pamela yang juga Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) berpandangan, semua pihak maklum bahawa rakyat juga merasakan bahawa tiada sebarang penjelasan yang konstruktif, ampuh dan memuaskan terhadap kes tersebut.

“Saya gusar keputusan Speaker ini juga akan memberi kesan langsung yang buruk kepada kerajaan memandangkan Ahmad Zahid juga menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sebelum ni banyak jaaa kes DNAA..kenapa tak kecoh..itu adalah keputusan Peguam Negara…kenapa plak DS Zahid kena bagi penjelasan…bodoh betul. Tu sebab MCA tak boleh menang kecuali menumpang kerusi UMNO

Comments are closed.