Keadaan kereta Proton Saga yang terbabas dalam longkang selepas hilang kawalan. Foto Bpmba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas selesai rawatan dialisis cedera selepas kereta yang dipandunya telah terbabas dan terbalik ke dalam parit.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Alam Perdana-Bandar Puncak Alam Selangor pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi telah menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada jam 11.38 pagi tadi.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dengan sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian tersebut.

“Semasa kejadian, pemandunya dalam perjalanan ke rumahnya di Bandar Tasik Puteri sebelum mangsa yang dikatakan pening telah hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit pada kedalaman tiga meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa diselamat dan dikeluarkan daripada keretanya oleh orang awam sejurus berlaku kemalangan itu.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka akibat kemalangan itu dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” ujarnya. -MalaysiaGazette