KUALA LUMPUR – Penyanyi, pelakon dan pelawak Mek Habsah meninggal dunia pada usia 67 tahun pukul 2.45 pagi tadi.
Media temptan melaporkan, Allahyarham yang nama sebenarnya Habsah Bakar dan popular sekitar era 1980-an menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur akibat masalah paru-paru kronik.
Mek Habsah dikatakan sudah lebih 20 tahun menderita sakit paru-paru kronik dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.
Beliau terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan oksigen untuk memudahkannya melakukan aktiviti seharian.
Mek Habsah dimasukkan semula ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur sejak 12 Julai lalu sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pagi ini.
Sepanjang pembabitan dalam seni, Mek Habsah pernah melahirkan album atas siri Asam Pedas bersama Allahyarham Datuk Yahya Sulong dan Allahyarham Maidin.
Anggota untuk siri album ini juga bertukar ganti dan pernah dianggotai oleh Allahyarham Osman Kering.
Jenazah Mek Habsah akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis 1 pada pukul 10 pagi ini untuk diuruskan dan penghormatan terakhir.
Urusan pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih Fasa 2 pada pukul 2.30 petang ini. – MalaysiaGazette