Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan langkah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membawa parti tersebut keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) adalah satu tindakan yang amat wajar.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional itu berkata, sudah tentu langkah ini memberikan impak negatif yang amat besar kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gabungan PH-BN yang sedang berada di tampuk pemerintahan negara telah hilang 2/3 majoriti di Parlimen.

“Meneliti laporan akhbar mengenai sebab mengapa MUDA bertindak untuk keluar dari Pakatan Harapan, saya merasakan mereka mempunyai alasan yang amat kukuh.

“Pelepasan tuduhan jenayah terhadap beberapa tokoh politik yang berkaitan dengan PH baru-baru ini sememangnya mengundang rasa sebal dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

“Laungan “Reformasi” yang pada suatu ketika dahulu menjadi satu seruan keramat bagi membangkitkan semangat rakyat untuk menentang kezaliman nampaknya hanya retorik kosong semata-semata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida menambah, tindakan MUDA itu wajar diberikan pujian kerana mereka menghentikan sokongan kepada kerajaan PH-BN atas dasar prinsip dan bukannya bertindak bagi kepentingan individu atau sesuatu kumpulan sahaja.

Katanya, MUDA boleh sahaja duduk selesa di dalam barisan pemimpin kerajaan dengan berdiam diri, namun telah memilih untuk bangkit dan lawan demi memperjuangkan masa hadapan seluruh rakyat Malaysia.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada YB Syed Saddiq dan MUDA di atas keberanian mereka dalam mempertahankan prinsip dan integriti,” ujar beliau.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya, Syed Saddiq berkata, MUDA mengambil keputusan berkenaan sebagai tanda protes terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 tuduhan.

Syed Saddiq  berkata, beliau telah mengutuskan surat untuk berada dalam blok pembangkang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurutnya, langkah yang diambil adalah sesuatu yang sukar namun perlu dan berbaloi. – MalaysiaGazette

Syed Saddiq buat keputusan jadi pembangkang

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. SyedSaddiq bagai “Mencari/MembawaDiri” tidak dapat jawatan dalam pimpinan PMX…jika ada pasti semua “happy²”??…sebab sudah keterbiasaan duduk kabinet pegang jawatan tinggi kerajaan terdahulu. MP MUDA tidak di/terpeduli???..

Comments are closed.