Ahmad Fadhli Shaari.-Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Pembangkang telah meminta kerajaan untuk memberikan limpahan ekonomi secara seimbang kepada negeri dan wilayah seperti mana Selangor dan Pulau Pinang sebagai antara usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu, kerajaan mestilah melihat potensi negeri-negeri seperti Kelantan sebagai lokasi untuk membangunkan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi.

“Menurut mantan Negeri Tenaga dan Sumber Asli pada November yang lalu, Kelantan berupaya mengembangkan industri nadir bumi kerana memiliki unsur nadi bumi bernilai RM 125 bilion.

“Selain itu, dalam bagi memastikan Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi, perlunya ada tiga segmen industri yang sesuai dengan potensi Kelantan iaitu pelancongan, perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menambah, Kelantan turut mempunyai tarikan pelancongan seperti keindahan alam semula jadi dan budaya masyarakat.

Ujar beliau, rakyat Kelantan juga dikenali dengan kobolehan berniaga dan melahirkan ramai usahawan yang berjaya.

Oleh itu menurutnya, pendekatan yang boleh diambil kerajaan ialah dari segi aspek infrastruktur pengangkutan perlu melihat kepada spillover effect daripada infrastruktur tersebut.

“Di samping itu, bagi mempertingkat potensi ekonomi wilayah perlu berdasarkan kekuatan setempat.

“Sepertimana kedudukan geografi Kelantan berada di kawasan Pantai Timur serta berjiran dengan negara Thailand, ia perlu dilihat bagaimana untuk dimanfaatkan kedudukan ini untuk merancakkan potensi ekonomi rentas sempadan,” katanya.

Semalam, KSP RMK12 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan jumlah siling perbelanjaan RMK12 akan ditambah sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.

Hari ini, pembentangan KSP RMK12 diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 September ini. – MalaysiaGazette