Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan mencadangkan Kementerian Kewangan memantau mana-mana syarikat yang memperoleh projek agar membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, langkah itu penting kerana kutipan cukai yang efisen dapat membantu meningkatkan kewangan negara sekali gus  digunakan semula untuk membantu rakyat.

“Kita  kena pastikan mana-mana syarikat yang mendapat projek ini, segala rantaian syarikat-syarikat ini mestilah dipantau. Mereka perlulah membayar cukai kepada LHDN supaya LHDN boleh dapat pendapatan.

“Ia kemudiannya boleh disalurkan balik kepada kerajaan dan persekitaran ekonomi ini akan berpusing. Akhirnya, akan membawa balik negara kepada landasan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berpendapat kutipan cukai perlu diperkasakan dengan lebih cekap agar ia boleh dipulangkan semula untuk manfaat rakyat.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, langkah itu penting untuk dilaksanakan oleh agensi kerajaan itu kerana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hanya berbaki dua tahun setengah sahaja.

Menurutnya, ia antara strategi yang boleh dipertimbangkan untuk mengembali semula ekonomi Malaysia ke hadapan selepas beberapa tahun ketinggalan di belakang. – MalaysiaGazette