Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib bagi menghadiri perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mendengar keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Perjuangan bagi menegakkan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak (DSN) belum selesai walaupun mahkamah hari ini mengekalkan keputusan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anak Najib, Nooryana Najwa memohon kepada rakyat untuk terus berdoa supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan mendapat keadilan bagi kes lain yang sedang dihadapi.

“Ya, hari ini DSN telah dibebaskan mahkamah daripada tuduhan pindaan laporan audit 1MDB.

“Perjuangan menegakkan keadilan untuk bossku belum selesai, dan perlu tabah menghadapi empat lagi kes.

“Di masa ini, bossku masih berada di Kajang mendoakan keadilan buat dirinya. Please. Tolong sama-sama doakan untuk DSN. Semoga semua urusan dipermudahkan dan akan ada keadilan buat dirinya,” katanya dalam satu perkongsian.

Sementara itu Nooryana Najwa berkata, kes tersebut telah menyebabkan Najib berdepan dengan cacian dan kritikan daripada pelbagai pihak selama lima tahun.

Najib juga berhadapan dengan propaganda negatif kononnya beliau telah meminda laporan audit untuk menyorok kebenaran 1MDB selain terpaksa menanggung kos guaman.

Menurut beliau semasa perbicaraan, saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil menunjukkan bahawa pindaan yang dibuat ke atas laporan audit adalah pindaan yang tidak penting, remeh dan kecil

Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang juga menegaskan bahawa beliau menjalankan tugasnya tanpa menerima sebarang tekanan mahupun arahan daripada mana-mana pihak termasuk Najib.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan dua notis rayuan pendakwaan selepas gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 6 Julai lalu.-MalaysiaGazette