Isham akar umbi
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menegaskan, beliau mewakili akar umbi UMNO yang mahu melihat parti itu kembali ke perjuangan asal mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Menurut beliau, mereka tidak mahu UMNO mengikut telunjuk DAP yang memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia serta menghapuskan hak orang Melayu dan bumiputera.

Isham berkata, ia adalah isu asas perjuangan iaitu sama ada mempertahankan hak orang Melayu atau menyambut Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.

“Dalam isu ini tidak boleh dukung keduanya sebab ia amat bertentangan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini yang menyifatkan pandangannya agar UMNO bertanding dalam pilihan raya tanpa bersama DAP sebagai tidak mewakili parti.

Isham ketika melontarkan pandangan itu semalam percaya langkah tersebut berupaya mengembalikan keyakinan akar umbi terhadap UMNO.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Anthony meminta ‘kawan-kawan pro-DAP’ dalam UMNO untuk membuat referendum bagi bertanya kepada kira-kira tiga juta ahli UMNO sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau sebaliknya.

“Bila ada perubahan kepada asas perjuangan perlu ada referendum supaya asas tidak menyimpang.

“Dan dengan ini barulah kita tahu pandangan mana yang sebenarnya mewakili parti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa plak org lain yg kena buat referendum? Ko yg kata kau mewakili akar umbi UMNO..ko lah buat…bukti kan…

Comments are closed.