MELAKA – Kerajaan negeri hanya menerima satu aduan berkaitan kekurangan beras putih tempatan (BPT) biarpun kebanyakan peruncit mendakwa terputus bekalan itu sejak lebih dua minggu lalu.
Malah, dalam kalangan peniaga pula mengakui, kali terakhir mereka dapat membeli BPT adalah lebih sebulan lalu sehingga terpaksa menggunakan beras putih import (BPI) pada harga yang lebih mahal.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, satu aduan berkaitan kekurangan BPT yang diterima setakat semalam sudah pun disalurkan ke pihak Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri untuk siasatan lanjut.
“Sehingga 11 September lalu, sebanyak tiga siri pemeriksaan Ops Jamin telah dilaksanakan di seluruh negeri Melaka yang melibatkan pemeriksaan di peringkat pemborong dan peruncit.
“Pemeriksaan ke atas 127 premis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka bertujuan memastikan bekalan dan harga BPT dan BPI sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Ops Jamin bertujuan mengelakkan berlakunya kesalahan oleh mana-mana pihak berkaitan membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.
“Semua peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerana penguatkuasa KPDN Melaka sentiasa bersedia dan melaksanakan pemantauan bagi memastikan tidak berlaku situasi putus bekalan barangan keperluan pengguna,” tambahnya.
Jelasnya, untuk sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-2345869 bermula 9 pagi hingga 6 petang atau 03-88826088 yang beroperasi 24 jam setiap hari. – MalaysiaGazette