Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (dua kanan) bergambar selepas melihat hiasan dan visual yang bertemakan 'Cerita Malaysiaku' sempena Hari Malaysia ke-60 yang terdapat pada keseluruhan Tren LRT ketika hadir melancarkan Tren 'Cerita Malaysiaku' di Stesen LRT Universiti. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Blok Pembangkang di Parlimen diminta bersabar dan memberi ruang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen menyiasat isu keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terlebih dahulu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmy Fadzil yakin jawatankuasa yang merangkumi keanggotaan ahli-ahli Parlimen blok Perikatan Nasional itu platform paling tepat untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu berbangkit itu.

Jawatankuasa khas Parlimen itu adalah tempat yang paling tepat kerana ia satu platform yang berbeza berbanding dalam Dewan Rakyat yang sekadar membolehkan hanya ahli Parlimen sahaja memberi pendapat.

“Sekiranya dalam konteks Parlimen kita nak dapatkan maklumat daripada mana-mana pihak maka proses dan prosedurnya adalah seperti yang diumumkan semalam (Jawatankuasa Pilihan Khas).

“Jadi saya juga berharap kepada ahli-ahli Parlimen dari PN atau mana-mana yang lain pihak yang ingin mendapatkan penjelasan mendalam tentang perkara ini harap bersabar kita serah pada jawatankuasa pemilihan khas itu untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

“Mereka (jawatankuasa pemilihan khas Parlimen) sudah pasti akan melaporkan kepada Dewan Rakyat mengenai hasil siasatan dan saya percaya setelah laporan itu diterbitkan nanti kita boleh bahas di Dewan Rakyat..itu yang paling menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tren Cinta Malaysiaku! sempena Hari Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang perkara tersebut selepas semalam Dewan Rakyat menyaksikan usul membahas isu DNAA membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu meminta pembangkang bersabar kerana jawatankuasa khas yang akan mengendalikan isu berkenaan telah terbukti kerana membantu dalam banyak perkara sebelum ini khususnya penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan isu berkaitan rokok dan vape.

“Oleh demikian, bagi saya jawatankuasa khas ini sangat tepat dan ia tidak berpartisan selain tidak berpolitik serta memainkan peranan mendalam mengendalikan sesuatu perkara.

“Maka kami percaya dengan prosesnya dan membiarkan jawatankuasa itu meneruskan kerjanya (memanggil Peguam Negara) dan pada akhirnya nanti kita akan dapat hasil laporan serta akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti,” ujarnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast