GEORGE TOWN – Gaya hidup mewah sepasang kekasih tempatan akhirnya membongkar kepada kegiatan pengedaran dadah selepas mereka ditahan di sebuah rumah di Jalan Zainal Abidin di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, serbuan jam 5.30 petang itu membawa kepada tangkapan lelaki berusia 42 tahun dan kekasihnya, 26, bersama dadah jenis ganja serta syabu bernilai RM25,950.

“Hasil risikan mendapati pasangan ini aktif dalam pengedaran dadah sejak awal Januari lalu.

“Masing-masing mereka positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Saravanan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki serta merampas 1,080 biji pil kuda bertulis WY di Gelugor di sini, semalam.

Pil kuda bertulis WY yang dirampas dalam milikan seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di tepi jalan kira-kira jam 2.25 pagi dan rampasan pil kuda bernilai RM5,903 itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kita turut menyita sebuah kereta bernilai RM36,000 dan secara keseluruhan nilai rampasan serta sitaan berjumlah RM41,903.

“Suspek dipercayai aktif sejak awal tahun dan semakan kita mendapati dia mempunyai rekod lampau selain positif dadah,” kata beliau. – MalaysiaGazette