ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz tidak akan mengosongkan kerusi DUN dimenanginya walaupun sudah terkeluar daripada blok kerajaan.
Beliau sebaliknya akan terus berkhidmat di DUN Puteri Wangsa dan membantu negeri Johor.
Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu juga berkata, dirinya tidak akan mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.
Ia perjuangan yang dikongsi bersama Pakatan Harapan (PH) yang disebut sewaktu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menentang salah laku rasuah.
“Isu kerusi ini adalah mandat rakyat yang telah diberikan dan ada yang kata mandat rakyat itu atas tiket PH tetapi ini adalah janji yang dipersetujui untuk menentang segala bentuk rasuah, kleptokrasi dan salah laku, janji-janji itu saya masih pegang sehingga ke hari ini.
“Jadi, kalau katakan saya perlu kosongkan kerusi Puteri Wangsa kerana membelakangkan janji, saya hendak bertanya siapa yang sepatutnya perlu kosongkan kerusi sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang DUN Johor di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan memberi pilihan sama ada menyertai Amanah atau meletak jawatan sekali gus mengosongkan kerusi DUN yang dimenanginya.
Bagaimanapun Amira Aisya berkata, Aminolhuda perlu mengingatkan asas dan prinsip perjuangan antara MUDA dan PH bukanlah hanya untuk mendapatkan kerusi semata-mata.
Beliau berkata, kerusi yang dimenangi oleh MUDA iaitu kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa bukan milik sesuatu parti sebaliknya adalah kerusi rakyat – MalaysiaGazette