Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man r hadir pada Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan akan dijadikan ‘senjata’ pembangkang.

Senjata itu akan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Timbalan Presiden Pas itu, sebagai parti politik amatlah rugi sekiranya pembangkang tidak menggunakan isu itu untuk tujuan kempen.

“Saya rasa ia sebahagian daripada bahan kempen, siapa yang tidak ambil peluang ini rugi. Ini bola tanggung, bagi saya apa-apa isu yang menyebabkan kepentingan negara dan awam kita akan bawa dan saya yakin kerajaan tahu isu ini.

“Cuma bila yang dipertikaikan sekarang ialah kita perlu dapat penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara mengapa tidak teruskan pendakwaan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 3 Oktober hari pengundian awal.

Sebelum ini, penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri meramalkan isu DNAA Ahmad Zahid akan beri kesan terhadap PRK DUN Pelangai di Pahang.

Jelasnya, tidak mustahil pengundi di DUN berkenaan akan dipengaruhi oleh sentimen penolakan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu. – MalaysiaGazette