KUALA LUMPUR – Kembara Kenali Borneo (KKB) di Sabah dan Sarawak wajar dijadikan batu loncatan untuk agenda pembangunan di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua kerajaan negeri tersebut perlu melaksanakan penilaian dan tindakan bagi memperbaiki mutu kehidupan rakyat dalam pelbagai.

“Dari segi ekonomi, infrastruktur misalnya jalan raya dan pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan, dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan yang akan datang.

“Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negeri-negeri Borneo ini, memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sanggup mencemar duli untuk menjayakan Kembara Kenali Borneo yang tamat semalam.

Jelasnya, banyak iktibar yang diperolehi menerusi kembara berkenaan.

“Bukan sahaja satu Malaysia malah satu dunia telah menyaksikan betapa Ketua Tertinggi Negara buat pertama kali dalam sejarah mengadakan kembara selama 11 hari dengan memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak dan ianya mendapat sambutan sangat luar biasa dari rakyat jelata,” tambahnya.

Ujar Fadillah, KKB telah membuktikan bahawa rakyat jelata dan Raja berpisah tiada.

“Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana KDYMM SPB YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Istana Negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, rakyat yang menyatakan sokongan dan berkongsi kegembiraan bersama sepanjang kembara berlangsung 11 hari.

Kembara Kenali Borneo yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Seri Paduka baginda dan permaisuri untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Perjalanan kembara bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalui dan berakhir di Telok Melano, Sarawak selepas melengkapkan perjalanan 2,154 kilometer (km).-MalaysiaGazette