KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong akan dipanggil untuk menghadiri prosiding keempat pengurusan wabak Covid-19 yang lakukan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah tersebut diambil disebabkan nama Ahli Parlimen Ayer Hitam itu disebut di dalam prosiding sebelum ini.
Katanya, turut dipanggil bagi menghadiri prosiding itu iaitu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Chen Chaw Min.
“PAC memerlukan keterangan dan penjelasan daripada Wee memandangkan nama beliau disebut dalam prosiding sebelum ini dan untuk berlaku adil kepada beliau, PAC mendengar penjelasan Wee.
“Tetapi, saya tidak akan mendedahkan atas sebab apa memandangkan prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Surat panggilan mesyuarat kepada saksi-sakti ini akan dikeluarkan hari ini, dan saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini,” katanya yang turut memberitahu prosiding dijadualkan berlangsung pada 21 September ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Prosiding itu antaranya meneliti berkaitan kes vaksin luput tempoh hayat, peralatan ventilator tidak dapat digunakan dan lebihan personal protective equipment (PPE).
Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut mengemas kini beberapa prosiding lain, antaranya berkaitan projek kapal peronda generasi kedua LCS bagi tentera laut di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef).
Katanya, PAC akan memanggil pegawai Kementerian Pertahanan pada 3 Oktober bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi Jun sehingga Ogos 2023.
“Sebelum ini, PAC telah mendengar perkembangan berhubung projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 pada 10 Jun lalu,” katanya.
Pada setiap tiga bulan, PAC akan mendapat taklimat daripada Mindef berhubung kemajuan kapal tersebut.
Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menghantar satu daripada enam LCS pada 2019.
Bagaimanapun, tiada satu pun yang dihantar sehingga kini. – MalaysiaGazette