Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melakukan usaha terbaik menangani isu penyalahgunaan dadah, namun masih tidak dapat diselesaikan dengan berkesan sehingga menjadi punca kepada sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu pendekatan berhubung masalah itu perlu dikaji dan dilihat semula selaras dengan perkembangan antarabangsa.

Kata beliau, sempena usaha Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) dalam merangka tindakan holistik mengatasi masalah tersebut, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) akan menjalankan kajian undang-undang berkaitan dengan hukuman.

“BHEUU JPM bersama beberapa agensi akan menjalankan kajian berhubung hukuman kesalahan yang ada kaitan dengan penyalahgunaan dadah dari perspektif berbeza.

“Kita akan merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau secara rehabilitasi yang telah digunakan negara lain dan mengkaji kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Sesi Perbincangan Kajian Undang-Undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah.

Sesi itu turut dihadiri wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil.

Ia membincang dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman.

Menurut Azalina, sebelum ini KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, KKM, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan badan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan yang terbaik dalam menangani isu itu.

“Namun, ia tidak dapat diselesaikan dengan berkesan. Justeru, kerajaan komited untuk memelihara kepentingan golongan berisiko tinggi seperti golongan terdedah, miskin dan belia yang mudah dipengaruhi,” katanya.

Kata beliau, sesi libat urus lanjutan berkaitan perkara itu termasuk perbincangan kumpulan berfokus akan dikendalikan Timbalan Menteri Undang-Undang (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

“Kita melihat penyalahgunaan dadah bukan sahaja isu jenayah, tetapi mencakupi isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi, kesihatan dan sosial.

“Sehubungan itu, kita berhasrat menggabungkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pakar dan masyarakat sivil dalam mencari penyelesaian lebih berkesan demi sebuah masyarakat Madani yang sihat dari semua aspek,” katanya. – MalaysiaGazette