KAJANG – Lebih 26,000 unit kediaman bernilai RM18.3 bilion direkodkan bagi segmen unit siap dibina tidak terjual atau lebih dikenali sebagai overhang bagi separuh kedua tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, situasi itu bertambah baik dengan penurunan bilangan dan nilai setiap satu pada 5.3 peratus dan 0.6 peratus berbanding separuh kedua tahun 2022.
Menurutnya, hampir 58 peratus daripada overhang kediaman merupakan harta tanah kondominium ataupangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, hampir separuh berharga lebih daripada RM500,000 seunit.
“Johor kekal dengan bilangan overhang kediaman tertinggi dalam negara dengan 4,717 unit diikuti Selangor dengan 4,307 unit. Kedua-dua negeri masing-masing merekodkan nilai overhang lebih RM4.0 bilion.
“Walaupun demikian Johor berjaya menurunkan bilangan tersebut sebanyak 10.3 peratus manakala Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 16.5 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 di Institut Penilai Negara (Inspen) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menambah, situasi overhang pangsapuri khidmat juga bertambah baik di mana terdapat lebih 22,000 unit overhang pangsapuri khidmat bernilai RM19.13 bilion pada separuh pertama tahun ini direkodkan, iaitu penurunan bilangan 6.2 peratus berbanding separuh kedua tahun 2022.
Jelas beliau, hampir 89 peratus daripada jumlah overhang ini berharga RM500,000 dan ke atas dan sebahagian besarnya terletak di Johor.
“Harga kediaman terus menunjukkan kenaikan marginal. Ini dapat dilihat daripada peningkatan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) sebanyak 2.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022, disokong oleh kenaikan marginal di negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” katanya.
Sementara itu, Ahmad memberitahu, aktiviti pasaran harta tanah merekod prestasi stabil pada separuh tahun ini apabila lebih daripada 184,000 transaksi bernilai RM85.37 bilion telah direkodkan.
Beliau berkata, situasi itu menyaksikan sedikit penurunan dalam bilangan sebanyak 2.1 peratus tetapi jumlah nilai transaksi meningkat sedikit 1.1 peratus berbanding tempoh sama tahun 2022.
Menurutnya, penurunan aktiviti di subsektor harta tanah kediaman dan pertanian, masing-masing pada kadar 1.0 peratus dan 12.4 peratus berbanding tahun lalu memberi kesan pasaran harta tanah secara keseluruhan.
“Segmen pasaran kediaman baharu masih memperlihatkan sentimen berhati-hati apabila 16,000 unit baharu dilancarkan pada separuh tahun ini berbanding lebih 33,000 unit tahun lalu dan prestasi jualan purata negara adalah pada kadar 32.2 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette