E. Elavarasan (kiri). Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) layak ke Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan masih lagi tidak memuaskan hati peminat bola sepak tempatan.

Ini kerana corak permainan yang ditampilkan masih lagi tiada arah tuju dalam kalangan pemain.

Tinjauan di media sosial mendapati kebanyakan penyokong mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menukar pengendali negara, E. Elavarasan kepada jurulatih lain yang lebih berpengalaman di pentas antarabangsa kerana bekas jurulatih Sarawak United itu kekurangan idea daripada segi taktikal.

Malah ada juga yang beranggapan skuad Harimau Muda  tidak mampu bersaing dengan pasukan kuat di Piala Asia B-23 pada tahun depan.

Malaysia berjaya raih slot tempat kedua terbaik kumpulan bersama Kuwait, Tajikistan dan China walaupun tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-23.

Namun berdasarkan rekod, antara pencapaian terbaik skuad Malaysia B-23 di bawah kendalian Elavarasan hanya muncul Juara Piala Merlion di Singapura pada bulan Mac lalu.

Ketika itu, mereka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Selain itu, Elavarasan juga gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh FAM iaitu layak ke final Sukan SEA 2023 di Kemboja dan juga perlawanan akhir Piala AFF B-23 di Thailand pada Ogos lalu.

Sasaran layak ke Piala Asia B-23 secara automatik selaku juara kumpulan juga gagal dicapai sekaligus mengukuhkan lagi hujah peminat untuk menukarnya dengan jurulatih lain.

Sepanjang dibimbing oleh Elavarasan, Malaysia tewas tiga kali kepada Thailand serta gagal menandingi kekuatan Vietnam yang menurunkan ramai pemain bawah 19 tahun ketika Piala AFF B-23.

Justeru itu, perubahan perlu dibuat oleh FAM untuk memastikan pasukan muda negara mampu bersaing di pentas Asia sama ada dari segi pertukaran barisan jurulatih atau membawa masuk lebih ramai pemain warisan berkualiti dari luar negara.

Ini adalah penampilan ketiga skuad Malaysia B-23 di pentas Piala Asia B-23. Malaysia juga pernah mara ke peringkat suku akhir pada edisi 2018 di China ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Ketika itu pasukan yang dibarisi oleh Safawi Rasid, Azam Azih, Matthew Davies, Dominic Tan telah mengejutkan Arab Saudi 1-0 di peringkat kumpulan dan pernah menewskan Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast