LONDON – Pemain tengah Juventus, Paul Pogba terus ditimpa nasib malang apabila digantung sementara selepas Agensi Anti Doping Itali (NADO Italia) mengesahkan dia positif doping bahan terlarang jenis testosterone.
Doping merujuk penggunaan dadah atau ubat yang diharamkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Pogba, 30, ketika itu tidak beraksi dan hanya sekadar memanaskan bangku simpanan kerana masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik ekoran kecederaan serius dialami musim lalu.
Jika didapati bersalah, bintang Perancis itu berdepan hukuman penggantungan antara tempoh dua hingga empat tahun dengan difahamkan dia kini sedang menanti keputusan daripada sampel B.
Pogba kembali menyertai Juventus buat kali kedua dengan kontrak empat tahun sehingga Jun 2026 selepas meninggalkan Manchester United secara percuma pada Julai 2022.
Kepulangan semulanya tidak cemerlang seperti yang dijangka apabila Pogba dihimpit kecederaan termasuk perlu menjalani pembedahan lutut mengakibatkannya terlepas mewakili Perancis pada Piala Dunia Qatar 2022. – Agensi