Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Jun 2024 sebagai tarikh mula bicara kes pecah amanah harta berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan bicara 30 hari dalam bulan Jun dan Julai selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Kes akan dibicarakan setiap hari kecuali hari Jumaat dan cuti umum bermula 4 Jun dan akan berlanjutan sehingga 30 Julai 2024.

Terdahulu ketika prosiding, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi membuat permohonan untuk dibicarakan bermula tahun depan, walaupun ada ura-ura yang mndakwa kes ini kemungkinan besar akan digugurkan memandangkan pendakwaan mengambil masa ‘panjang’ sehingga hampir lima tahun.

Sekumpulan besar penyokong bekas Perdana Menteri itu sudah mula berkumpul di luar perkarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak awal pagi ini memandangkan kemungkinan besar adanya keputusan ‘positif’ berhubung permohonan representasi Najib hari ini.

Namun untuk makluman, pada prosiding sebutan kes pagi ini,  tidak menyebut langsung mengenai representasi kedua yang dimohon oleh Najib dan Irwan Serigar supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji enam tuduhan yang dihadapi mereka.

Pada 3 April lalu, mahkamah sepatutnya mula mendengar perbicaraan kes berkenaan, bagaimanapun pendakwaan memohon ia ditangguhkan kerana terdapat perkembangan baharu.

Ia susulan pendakwaan menerima surat representasi kedua daripada Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan bagi menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya yang sedang diteliti oleh AGC.

Najib mengemukakan representasinya dua tahun lalu tetapi ditolak, manakala representasi dihantar oleh Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh AGC, yang kemudiannya menghantar permohonan representasi baharu Mac lalu.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 70 dan Mohd Irwan, 67 mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda. -MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. RAKYAT BIASA ….BARU DITUDUH belum BERSALAH TERUS DIGARI ….ahli politik BEBAS BERKOT….mungkin ada BILIK VIP dalam PENJARA

Comments are closed.