KUALA LUMPUR – Sabah melepaskan peluang untuk meraih kemenangan sebagai bekalan selesa pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 selepas terikat 2-2 bertemu Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu perlu menyalahkan diri sendiri kerana memiliki kelebihan dua kali berada di hadapan namun membiarkan pelawat bangkit menyamakan kedudukan.
Sabah tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila tandukan Darren Lok berjaya memperdayakan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran seawal minit kempat.
Tersentak dengan gol awal tersebut, pemain Perak tampil dengan lebih baik untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan skuad Sabah.
Perak menyamakan keduduakn selepas sepakan percuma Luciano Guaycochea terus menerjah gawang dikawal Khairul Fahmi Che Mat untuk kedudukan kembali terikat.
Tidak sampai seminit babak kedua bersambung, penyokong Sabah sekali lagi melonjak kegembiraan setelah Ramon Machado de Macedo menanduk masuk bola hasil hantaran Saddil.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Perak kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor.
Jaringan penting buat Perak itu hadir selepas Wan Zack meledakkan rembatan dalam kawasan penalti ketika situasi sepakan penjuru.
Permainan selepas itu menyaksikan Sabah lebih menguasai permainan dan dilihat bernafsu untuk menjaringkan gol tetapi semua usaha tersebut gagal menemui hasil diharapkan.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan dan peluang kedua-dua pasukan kini terbuka luas pada aksi kedua yang bakal berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 25 September depan. – MalaysiaGazette