Foto: Bomba

CHUKAI – Tiga beranak maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah lori pasir di KM154, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Simpang 4, Jalan Mak Lagam-Cheneh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira 2 petang itu ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, serta Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1.

Mangsa yang cedera pula ialah isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa Harun, 38, dan anak angkatnya, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, yang kritikal dan sedang dirawat di Hospital Kemaman.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Bukit Kuang Permai, di sini menghala ke Cheneh untuk menghantar sabun kepada pelanggan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah lori pasir yang dipercayai mengalami masalah brek tiba-tiba keluar dari arah kiri jalan menyebabkan berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan.

Hanyan berkata, Ammir Hussein yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian manakala kedua-dua anaknya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kemaman.

Beliau berkata, pemandu lori pasir, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada sebarang penggunaan dadah.

“Siasatan turut mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast