Yang di-Pertuan Agong berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan oleh rakyat negeri Sabah dan Sarawak kepada Baginda sepanjang pengembaraan Kembara Kenali Borneo selama 11 hari baru-baru ini. Foto FB Istana Negara

KUCHING, 16 Sept (Bernama) — Semua keluhan rakyat yang disuarakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sewaktu Kembara Kenali Borneo akan diteliti serta diselesaikan dengan sebaiknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi jaminan tersebut berkata, Al-Sultan Abdullah masih sangat terkesan dengan pengalaman dilalui baginda dalam kembara yang berlangsung selama 11 hari itu.

“Pada Khamis lepas, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda masih sangat terkesan bicara dengan penuh perasaan bergelinang air mata kerana terpegun terkesan dengan kasih sayang rakyat tunjukkan kepada baginda berdua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di sini malam ini.

Rombongan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas sebelum mengakhiri penjelajahan selama 11 hari di Telok Melano di selatan Sarawak pada 13 Sept.

“Seluruh negara, bukan sahaja Sabah dan Sarawak, dikejutkan dengan sambutan hangat serta tunjuk rasa kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong (sepanjang kembara itu),” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast