Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengalu-alukan kemasukan murid antarabangsa di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Namun, dalam masa yang sama KPM bertanggungjawab memastikan setiap prosedur yang ditetapkan dipatuhi.

Menurutnya, Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima sebanyak 25 permohonan kemasukan murid antarabangsa dalam tempoh Jun hingga Ogos 2023.

Daripada jumlah itu, tiada sebarang surat penolakan dikeluarkan bagi mana-mana permohonan yang telah dibuat dalam tempoh berkenaan.

KPM berkata, kesemua permohonan yang diterima berada dalam penilitian dan pihak sekolah terlibat telah dimaklumkan mengenainya.

“Penelitian menyeluruh perlu dilakukan kerana ia melibatkan Dasar Pengoperasian SMPC yang sedang dalam proses semakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini,

KPM dipercayai menjawab kenyataan MCA yang tidak bersetuju dengan tindakan KPM membekukan pengambilan pelajar antarabangsa di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon, mendedahkan permohonan pengambilan 28 pelajar antarabangsa di sebuah SMPC di Perak telah ditolak.

Katanya, SMPC terkenal dengan ketegasan mereka dalam pentadbiran sekolah dan pengambilan pelajar antarabangsa akan mengikut prosedur ditetapkan dan isu
penyalahgunaan pas sosial hanya berlaku dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Oleh itu, alasan berkenaan tidak sewajarnya melibatkan pembekuan pengambilan pelajar antarabangsa di SMPC oleh KPM. – MalaysiaGazette