Unit Amal Pas berkumpul di Masjid Jamek seawal jam 12.30 tengahari.

KUALA LUMPUR – Peserta-peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula berkumpul di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru sejak jam 12.30 tengahari tadi.

Mereka yang rata-ratanya berbaju putih dilihat sudah berada di sekitar masjid dan di sekitar Kampung Baru.

Turut kelihatan adalah Unit Amal Pas yang bersiap sedia menjaga keselamatan para peserta.

Masjid Jamek Kampung Baru ini turut dikawal selia oleh pihak polis yang mula mengawal kenderaan masuk dan keluar dari kawasan ini.

Difahamkan para peserta himpunan aman ini akan mula berarak ke Sogo selepas solat Zohor dan kemudiannya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam pada itu, keadaan premis perniagaan dan penjaja di sekitar kawasan Masjid Jamek Kampung Baru dibuka seperti biasa tanpa ada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette, rata-rata peniaga masih membuka kedai dan menerima pelanggan sejak awal pagi tadi walaupun terdapat Himpunan Selamatkan Malaysia.

Semalam, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.

Ujarnya, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.