SINGAPURA – Beberapa penumpang Scoot dalam penerbangan Singapura-Xi’an tiba di bandar China itu pada hari Jumaat (15 Sept) tanpa bagasi mereka kerana syarikat penerbangan tersebut terpaksa mengeluarkanya disebabkan faktor cuaca.
Penerbangan TR134 berlepas dari Lapangan Terbang Changi Singapura kira-kira 35 minit lewat daripada yang dijadualkan pada petang Khamis.
Ia dikehendaki “memunggah keluar beberapa bagasi kerana angin kencang luar biasa yang menjejaskan prestasi pesawat sebelum berlepas yang dijadualkan pada jam 7.10 malam”, lapor CNA.
Scoot, syarikat tambang murah Singapore Airlines berkata, penumpang yang terjejas dimaklumkan sebaik tiba di Xi’an pada kira-kira 1.30 pagi Jumaat.
Syarikat penerbangan itu berkata, tindakan itu kerana cuaca ekstrem adalah jarang berlaku, sambil menambah, bagasi yang terjejas akan dimasukkan ke dalam penerbangan TR134 seterusnya yang dijadualkan berlepas dari Singapura pada 7.10 malam pada hari Sabtu dan tiba di Xi’an pada 12.35 pagi pada Ahad.
Scoot tidak mendedahkan berapa ramai penumpang yang terjejas tetapi ia telah mengatur agar bagasi dihantar ke tempat penginapan penumpang yang terjejas.
“Scoot memohon maaf atas kesulitan kepada pelanggan kami, dan kami akan terus membantu pelanggan yang terjejas,” tambah syarikat penerbangan itu.
September lalu, berpuluh-puluh beg dalam penerbangan sulung Air New Zealand dari New York ke Auckland tertinggal di Amerika Syarikat kerana keadaan cuaca.
Syarikat penerbangan itu mengeluarkan permohonan maaf dan mengatakan ia “disebabkan cuaca buruk”, beberapa beg pelanggan tidak dimuatkan untuk mengambil minyak tambahan bagi penerbangan jarak jauh, lapor New Zealand Herald.
Situasi yang sama dilaporkan pada Disember dalam penerbangan Jetstar dari Perth ke Bali.
“Disebabkan ribut petir di sekitar Bali pada hari Rabu, kami terpaksa membawa lebih banyak bahan api dalam beberapa penerbangan kami ke Denpasar, sekiranya kami perlu melencong ke lapangan terbang lain,” kata jurucakap Jetstar kepada news.com Australia.
“Ini bermakna kami tidak dapat membawa semua beg berdaftar dalam dua penerbangan kami,” kata syarikat penerbangan itu. – Agensi