KUALA LUMPUR – Himpunan Aman Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional dan NGO yang diadakan pada hari ini tidak mematuhi undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, bagaimanapun polis dengan kekuatan pegawai dan anggota berjaya memudahcarakan himpunan itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, himpunan itu bermula di Kampung Baru jam 1.15 tengah hari tadi dan berakhir jam 3.30 petang di hadapan pasar raya di Jalan Tunku Abdul Rahman menyaksikan pesertanya sekitar 850 orang.
“Saya menekankan perkara ini kerana kalau lihat pelbagai pandangan, pihak polis adalah penguatkuasa undang-undang dan kita berpandukan undang-undang yang digubal iaitu APA 2012 yang menggariskan perkara yang perlu dipatuhi polis dan penganjur khususnya dalam Seksyen 9,10 dan 11.
“Kalau ikutkan Seksyen 9, penganjur dikehendaki memberikan pemakluman megenai sebarang program yang mahu diadakan.
“Dalam Jadual 4 Seksyen 10 APA 2012 pula ada borang yang perlu dinyatakan maklumat penganjur dan kebenaran pemilik tanah, premis dan sebagainya serta ia perlu disertakan dalam kebenaran itu.
“Kemudian polis ada tanggungjawab besar dan perlu memberi respons kepada pemohon dan juga pada masa sama harus mendapatkan pandangan penduduk dan pemilik harta sebelum program itu diadakan.
“Sekiranya tiada permohonan bagaimana kami hendak memudahcarakan jika dia ubah hari ke sehari programnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejurus selepas himpunan itu.
Tambah beliau, pihak penganjur pun sememangnya sedia maklum segala peraturan dan formaliti yang perlu dipatuhi itu.
“Tiada sebarang kekecohan berlaku dan segalanya berjalan baik, tetapi buat masa ini, perhimpunan ini tak patuh Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kita akan melihat kembali apa tindakan susulannya yang wajar kita perlu ambil kelak,” ujarnya.
Ditanya adakah penganjur akan disiasat kerana tindakan mereka yang dilihat seolah-olah sengaja mengubah tempat program seperti cubaan mengelirukan polis, beliau berkata, polis akan melakukan siasatan dalam segala aspek.
Disoal sama ada 16 orang kenamaan yang dilihat menyertai himpunan itu akan dipanggil merakam percakapan, beliau menambah, polis akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan bukan hanya tertakhluk kepada 16 orang individu itu sahaja.
Beliau juga menafikan dakwaan yang tular kononnya Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dikepung ketika turun ke himpunan tersebut.
“Itu tak betul, jangan percaya berita tak benar, kita tak kepung sesiapapun, anda nampak tadi,” ujar beliau.
Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh Tun Faisal Ismail Aziz 2.30 petang tadi di IPD Dang Wangi, beliau menegaskan polis akan mengklasifikasikan siasatan kes selepas meneliti laporan polis itu.-MalaysiaGazette
Syukurlah perhimpunan aman telah berjalan aman damai dan sentosa. Seronok tengok peserta2 melaungkan slogan REFORMATI REFORMATI REFORMATI.
Ada juga kepimpinan yang mengingatkan berkenaan penghayatan rukun negara yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa.
Peace, REFORMATI13!
Nak dapatkan kebenaran atau keizinan pemilik tanah dan premis takkan free.