Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat malam esok mendoakan kesejahteraan rakyat Morocco dan Libya yang ditimpa musibah gempa bumi dan banjir besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu akan diadakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selepas solat Maghrib.

Katanya, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga diarah menganjurkan solat hajat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan oleh agensi media tempatan dan antarabangsa berkenaan tragedi gempa bumi di Morocco, banjir besar di Libya dan konflik di Sudan.

“Saya dan seluruh warga JPM merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa dan ahli keluarga serta mendoakan kemudahan serta kelancaran bagi urusan mencari dan menyelamat mangsa khususnya di Morocco dan Libya.

“Serentak itu, saya telah mengarahkan Jakim untuk menganjurkan solat hajat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 18 September ini selepas solat Maghrib,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengajak seluruh umat Islam bersama mendoakan kesejahteraan kepada rakyat Morocco dan Libya serta menghulurkan apa juga bentuk bantuan bagi meringankan beban mereka.

Selain itu, beliau juga mengajak umat Islam berdoa supaya segala usaha perdamaian akan berjaya menyelesaikan konflik yang meletus di negara Sudan. – MalaysiaGazette