Lim Kit Siang.-foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ibarat menjilat ludah sendiri kerana menjadi penasihat tidak rasmi kepada empat negeri Pas.

Kit Siang berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu membuktikan kata-kata beliau terhadap Pas sebelum ini adalah salah seperti yang ditulis dalam buku ‘Capturing Hope — The Struggle Continues for a New Malaysia.

Ini antaranya Mahathir menulis, pada 1981 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan bahawa UMNO adalah parti kafir dan ia telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Sekarang, Mahathir jilat ludah sendiri dengan menjadi penasihat tidak rasmi kepada empat negeri Pas walaupun Pas di bawah Hadi.

“(Mahathir) Cuba melakukan pada skala Malaysia apa yang telah dilakukannya sebelum ini, mengutuk DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti- raja, komunis, menyebarkan Islamofobia, tanpa sebarang bukti atau bukti apa pun,” kata Kit Siang dalam kenyataan.

Untuk rekod Kit Siang bersekutu dengan Mahathir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 dalam menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua hari lalu media melaporkan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dengan Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan akan dilakukan oleh menteri besar terbabit untuk membentu kumpulan itu.

Secara prinsipnya keempat-empat menteri besar bersetuju untuk mewujudkan kerjasama.

Dr Mahathir, katanya, akan memainkan peranan secara tidak rasmi dalam menasihatkan kumpulan empat negeri berkenaan.

“Secara spesifiknya, beliau (Dr Mahathir) memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan untuk memastikan kumpulan itu diuruskan dengan efektif.

“Peranan Dr Mahathir juga untuk menghubungkan empat negeri berkenaan dengan pelabur seperti negara Jepun dan Korea Selatan yang beliau ada hubungan yang baik,” katanya.

Naib Presidan Pas itu sebelum ini mengumumkan bahawa semua empat negeri bawah PN bersetuju menubuhkan satu ‘kumpulan empat negeri’ berkenaan.

Usaha itu adalah untuk fokus kepada pembangunan ekonomi masing-masing dan memelihara kebajikan rakyat.-MalaysiaGazette