Gambar Hiasan. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Iman Hamid berkata punca utama pelabur di Kedah Rubber City (KRC) menarik pelaburan adalah disebabkan pasaran sarung tangan getah yang lemah.

“Untuk projek Kedah Rubber City di Padang Terap, Pelabur Utama Hong Seng Consolidated Bhd tarik diri sebab pasaran sarung tangan getah lemah.

“KRC adalah projek Kerajaan Malaysia yang dilaksanakan oleh NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Pengerusi NCIA adalah PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media melaporkan semalam bahawa Hong Seng Consolidated Bhd membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang pembuatan lateks butadiena nitril (NBL) di Kedah Rubber City (KRC) ekoran kemerosotan dalam industri sarung tangan.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Securities pada 13 September lalu, syarikat itu berkata, ia telah membuat keputusan strategik untuk menggantung pembangunan kilang NBL memandangkan pelbagai faktor termasuk keperluan projek dan pembiayaan.

Untuk rekod, Hong Seng membeli 42.49 hektar tanah Persekutuan di KRC pada harga RM45.74 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk penubuhan loji itu pada 2020.

Hong Seng merupakan pengeluar sarung tangan, pakar pengurusan rantaian bekalan penjagaan kesihatan dan perubatan serta penyedia perkhidmatan kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast