Amirudin Shari

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan penjelasan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes penyalahgunaan kuasa dibuat secara langsung.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pendekatan itu membolehkan semua lapisan rakyat yang sudah termakan dengan dakyah pembangkang mendengar sendiri penjelasan itu.

“Antara saranan saya selaku Ahli Parlimen Gombak ialah prosiding ini dapat diikuti oleh rakyat.

“Mereka berhak mendengar secara langsung prosiding pendengaran dan penjelasan kes Ahmad Zahid dari Peguam Negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Amirudin, pembangkang sengaja menimbulkan beberapa isu terbaharu berkaitan pengguguran beberapa kes pemimpin, walaupun sebelum ini berlaku hukuman sama yang diputuskan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Katanya, kes DNAA dan membebaskan bebeapa pemimpin berlaku ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang).

Malah, tegas beliau, dalam kenyataan melibatkan 46 kes yang digugurkan ke atas Ahmad Zahid sebelum ini, secara jelas Takiyuddin menyatakan ia ada dalam constitution (perlembagaan) negara. – MalaysiaGazette