KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran sekarang disebabkan pembelian panik oleh orang ramai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berlaku selepas harga beras import naik mendadak.
“Pembelian beras putih tempatan kerana ‘panic buying’ bila harga beras import meningkat. Sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan sangat, termasuk peniaga.
“Tapi bila beras import naik, mereka mencari beras tempatan. Maka beras tempatan menjadi permintaan utama, yang menyebabkan ia berlaku sedikit shortage (kekurangan bekalan) di pasaran,” katanya di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun, Mohamad yakin masalah bekalan beras yang melanda negara ketika ini akan dapat diatasi dengan baik.
“Isu beras ini ianya berlaku paling hebat pada 2008 dan 2014, kedua-dua masa itu dapat diatasi dengan baik. Kali ini saya yakin dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah tersebut termasuk melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan.
Program itu jelasnya, adalah konsensus bersama pengilang beras untuk pengeluaran tambahan 20 peratus stok pengilang padi sebanyak 23,000 tan metrik sebulan bagi tempoh setahun.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Putrajaya tidak bercadang untuk melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang berada di negara ini.
Cdangan itu tidak wajar kerana warga asing juga mengambil nasi.
“Warga asing pun perlu makan. Jangan lupa mereka pun berkhidmat untuk keperluan negara kita,” ujarnya.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PH-Machang) yang bertanya sama ada kerajaan akan melaksanakan larangan menjual beras putih tempatan dalam kalangan warga asing yang bekerja di negara ini.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan untuk menghadkan penjualan beras tempatankepada wargas asing berikutan kenaikan harga.
Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan tersebut tidak bersifat diskriminasi, sebaliknya memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette