MELAKA – Seramai 54 pelajar dan kakitangan Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, mendaki Bukit Beruang untuk memupuk semangat patriotik dan perpaduan sempena sambutan hari ulangan tahun Kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia.
Para pendaki yang terdiri daripada 47 pelajar dan tujuh kakitangan MMU memulakan pendakian seawal 8 pagi dan tiba di puncak bukit tersebut selepas mengharungi perjalanan sejauh 2.38 kilometer (km) dengan mengambil masa dua jam 30 minit pada 20 Ogos lepas.
Pengarah program, Tay Sze Min berkata, pengembaraan itu telah menyemai nilai perpaduan dalam kalangan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pada masa yang sama memperkukuhkan semangat cintakan tanahair.
Sepanjang perjalanan itu, para peserta berasa amat gembira kerana dapat berkongsi pengalaman, bersama-sama menghadapi cabaran, memupuk nilai-nilai positif lain.
“Merdeka Hiking ini bukan sahaja aktiviti yang menyihatkan badan serta menghargai alam sekitar tetapi juga ia telah menanam rasa cinta kepada negara dengan lebih mendalam,” kata pelajar Undang-Undang itu.
Mengimbas semula pengalaman menarik semasa mendaki, Sze Min berkata, saat-saat mengembirakan dikongsi para peserta dan akhirnya mereka berjaya menamatkan pendakian hasil daripada muafakat dan kerjasama setiap peserta.
“Kami telah sampai ke puncak bukit dengan membawa pelbagai pengajaran, antaranya mengukuhkan lagi perpaduan antara kami seperti sebuah keluarga tanpa mengira perbezaan latar belakang,” katanya.
Pelajar Undang-Undang, Muhammad Yusuf Akram Azharudin, 22, berkata, walaupun mengharungi cabaran tetapi ia dapat dihadapi dengan kerjasama erat dan semangat cintakan negara.
“Ekspedisi ini ini mengeratkan lagi hubungan kami untuk menempuh semua cabaran dengan semangat muhibah, harmoni, sabar, tolong menolong antara satu sama lain. Pendakian ini seperti satu perjuangan seolah-olah kepayahan yang dilalui oleh generasi terdahulu dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah,” katanya yang berasal dari Johor.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelajar Kolej dengan sokongan Jabatan Gayahidup dan Pengalaman Pelajar MMU. – MalaysiaGazette