Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

GUA MUSANG – Pemuda UMNO Kelantan mempersoalkan apa hasil kerajaan negeri itu dapat daripada kerjasamanya dengan sebuah syarikat yang diberi kawasan terbesar untuk projek durian Musang King.

Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, rakyat Kelantan tertanya-tanya tidak adakah syarikat milik Melayu atau bumiputera yang layak diberikan tanah seluas 9,588 ekar di Tanah Tinggi Lojing, dekat Gua Musang itu untuk diusahakan.

“Tahniahlah atas kejayaan kerajaan Pas meletakkan nama Kelantan sebagai negeri yang memiliki Ladang Musang King terbesar di Malaysia.

“Cuma sedikit hampa, apabila ladang itu bukan milik kerajaan negeri atau mana-mana syarikat milik kerajaan negeri, melainkan diberi hakmilik kepada sebuah syarikat bukan bumiputra Kelantan.

“Ini jauh terpesong ketika berkempen pada pilihan raya umum dan negeri baru-baru ini, Pas selalu memomokkan kepada rakyat bahawa Kelantan sebuah negeri Melayu akan terancam di bawah penguasaan pihak lain, tapi apa terjadi adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, negeri itu memiliki ladang duriang Musang King terbesar di Malaysia yang dianugerahkan oleh Malaysia Book of Records kepada syarikat Sindiyan Plantation Sdn. Bhd.

Beliau berkata, kadang yang terletak di Tanah Tinggi Lojing itu menggambarkan sektor pertanian terus berkembang di Kelantan.

Menurut Mohd Azmawi, agak mengejutkan apabila semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu bukan bumiputra Kelantan, manakala seorang wakil dari Navis Capital iaitu syarikat pelaburan diasaskan oleh Richard Foyston yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Singapura dan Hong Kong.

“Pertanyaan saya, apakah faedah langsung yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kelantan dari kerjasama ini dan apakah pula faedah yang diterima kepada rakyat dari pengiktirafan ladang Musang King terbesar di Malaysia? Adakah dengan sedikit bayaran berbaloi untuk kerajaan negeri?

“Difahamkan melalui laman web syarikat ini, unjuran perolehan tahunan dari ladang ini kelak akan mencecah USD 1.5 bilion (RM7.037 billion).

“Ini jumlah keuntungan yang terlalu besar diperolehi syarikat berkenaan dengan air mata rakyat Kelantan yang ramai masih tidak memiliki tanah, malah lebih menyedihkan jumlah ini melebih tujuh kali ganda peruntukan Belanjawan Negeri Kelantan untuk setahun,” ujar beliau.

Katanya, adalah amat memalukan perkara berkaitan pertanian pun kerajaan negeri Kelantan gagal usahakan walaupun peluang di depan mata sendiri.

Jelas beliau, usahkan mahu majukan negeri dengan sesuatu yang memerlukan teknologi tinggi, di mana golongan kepimpinan teknokrat yang dibanggakan Pas sebelum ini?

“Saya juga dimaklumkan, ada sebuah lagi syarikat mengusahakan ladang Durian Valley di kawasan Pos Simpor yang menjadi kontroversi dengan Masyarakat Orang Asli sedikit masa lalu.

“Dalam isu, ladang Durian Valley pula melibatkan kawasan seluas 2,200 ekar yang dikatakan melibatkan kawasan yang asalnya kawasan untuk projek Tanaman Getah Klon (TLC).

“Projek Durian Valley ini pula menjual pokok secara ‘contract farming’ dengan harga RM5,212 untuk satu pokok kepada ‘orang awam’, namun saya pasti rakyat tidak tahu mengenainya walaupun pemasarannya telah sampai ke Hong Kong,” kata beliau.

Mohd Azmawi menggesa kerajaan Pas Kelantan memikul amanah untuk menjaga kepentingan rakyat, bukan menjadi raja musang berbulu ayam dengan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sembang kari je umno.. Pajakan sahaja bukan jual.. Tanah.. Macam pemimpin umno buat.. Kerajaan dapat hasil dari pajakkan.. Tanah tetap milik Kelantan.. Nak bagi kat orang Melayu boleh sahaja.. Ada yg mampu boleh mohon.. Tak perlu jadikan isu politik..

Comments are closed.