gula
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negara tidak menghadapi masalah bekalan gula terputus atau syarikat pengeluar bakal muflis walaupun harga bahan makanan itu pernah naik jauh lagi tinggi semasa zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri berbanding sekarang.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, Najib tidak memaksa pengeluar menjual barangan di bawah kos selama bertahun-tahun sehingga menyebabkan banyak gula tempatan diseludup ke negara-negara jiran disebabkan harganya yang lebih rendah.

Menurut beliau, Najib memahami bahawa gula adalah ‘racun’ kepada manusia dan melaksanakan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula dalam negara serta dengan menaikkan harga kawalan untuk mengurangkan permintaan dan penyeludupan.

“Masa itu, pembangkang kecam dan kritik Najib dengan kuat atas langkah-langkah tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sian See mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh mengenai kemungkinan industri gula tempatan akan runtuh sekiranya struktur harga sedia ada tidak dikaji semula.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan, kerajaan perlu memberi subsidi kepada gula kawalan supaya pengeluar tidak rugi dan beroleh sedikit keuntungan.

Pada masa yang sama, Sian See berharap nilai ringgit akan pulih serta harga gula dunia, elektrik dan gas serta upah pekerja kembali menjadi murah.

“Tetapi memberi subsidi kepada gula adalah satu perkara yang amat janggal sebab trend seluruh dunia ialah untuk cukai gula kerana ia bahan yang langsung tiada khasiat dan membahayakan kesihatan rakyat.

“Gula sebenarnya adalah racun dan punca bagi pelbagai masalah kesihatan yang serious seperti diabetes dan obesiti. Sebab itu, rakyat Malaysia antara paling gemuk di dunia,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan langkah yang sama ketika zaman Najib pada 2011 hingga 2013 iaitu menghapuskan subsidi gula, menaikkan harga kawalan gula secara berperingkat, mendidik rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula serta menggalakkan pengeluar makanan mengurangkan penggunaan gula.

“Biarpun geng Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian rakyat marah Najib ketika itu sebab harga gula naik sebanyak 35 sen dari RM2.50 ke RM2.85 satu kilogram tetapi bekalan gula tidak pernah putus masa zaman Najib,” katanya.

Sian See menasihatkan kerajaan agar melakukan yang terbaik dan paling tepat bagi kebaikan jangka masa panjang rakyat dan negara.

“Jangan selalu nak populis sehingga negara dan rakyat jahanam pada masa depan,” jelasnya. – MalaysiaGazette