Saksi yang merupakan Penganalisis Bank Negara Malaysia, Adam Ariff Mohd Roslan

KUALA LUMPUR – Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan hari ini mendedahkan bagaimana syarikat Good Star Ltd menerima lebih AS$810 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, dana yang diterima Gold Star itu disahkan oleh Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid.

“Pemeriksaan penyata bank Good Star bagi akaun bernombor 11116073, termasuk akaun semasa USD bernombor 11116073.2000 dan akaun semasa CHF (Swiss franc) bernombor 11116073.2007 disahkan ada menerima dana 1MDB.

“1MDB juga telah memindahkan AS$700 juta dan AS$110 juta ke akaun RBS Coutts milik Good Star.

“Sebelum menerima AS$700 juta daripada 1MDB, baki dalam akaun Good Star kosong,” kata saksi ke-47 pada prosiding 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di sini, hari ini.

Good Star Ltd adalah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low

Sementara itu, Adam berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menerima wang lebih RM60.6 juta yang dipindahkan ke dalam akaun Ambank beliau.

Katanya, melalui analisisnya, dana itu berasal daripada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA – ditukar nama kepada 1MDB pada September 2009).

Saksi itu berkata, wang dalam akaun Najib yang diterima pada 23 Februari dan 13 Jun 2011 daripada akaun Bank Riyad juga berasal daripada pinjaman bertempoh bersindiket 1MDB sebanyak RM2.5 bilion.

Adam yang bertanggungjawab menjalankan analisis untuk menjejaki wang dalam akaun Najib berkata, bekas Perdana Menteri itu menerima RM60.629 juta daripada Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud pada tahun 2011.

Jelasnya, akaun yang sama juga telah menerima dana daripada Good Star Ltd.

Jho Low Fat Leonard
Jho Low

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast