KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh lebih 45 minit apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menerangkan mengenai respon beliau terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar menuduh perkara sama turut dilakukan kerajaan terdahulu, namun beliau tidak menerangkan dengan lebih terperinci.
“(Ahli Parlimen) Larut ada tanya, bila Peguam Negara membuat keputusan, saya tanya apa alasan dia, (Peguam Negara) bagi 11 alasan macam yang dia berikan.
“Saya minta penjelasan, Putrajaya kenapa ketawa, masa pentadiran kamu pun buat benda yang sama,” katanya di Dewan Rakyat.
Perkara itu menyebabkan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berang dan meminta Anwar menarik balik kenyataan tersebut.
“Saya minta (Ahli Parlimen) Tambun tarik balik, tarik balik,” teriak Radzi.
Anwar menjawab Radzi tahu apa yang terjadi semasa pentadbiran PN.
“Putrajaya (Radzi) tahu dan (bekas) menteri pun ada di sini.
“Peguam Negara yang sama Tan Sri Idrus Harun, Putrajaya tahu apa yang berlaku. Sudahlah saya nak bagitahu dalam keadaan sekarang budi bicara yang diputuskan dalam kes-kes oleh Mahkamah Tinggi Long Bin Samad, Johnson Tan Han Seng…],” kata Anwar.
Tidak puas hati dengan penjelasan Awnar, Radzi berkata, beliau hanya mahu Anwar tarik balik kenyataan tersebut.
“Saya nak Tambun tarik balik,” katanya.
Jelas Anwar, ini bukan kali pertama kes pertuduhan diberhentikan.
“Ini bukan kali pertama suatu pertuduhan diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan.
“Dia takut nak dengar penjelasan kita. Putrajaya dan pentadbiran lalu, apa yang tidak betul,” jelas Anwar.
Berusaha untuk meleraikan pertikaman lidah itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberikan arahan untuk Radzi duduk dan mendengar penjelasan Anwar.
“Ketua Pembangkang telah jelas bahawa apa yang dimaksudkan telah jelas dan saya yakin,” kata Johari.
Ini menyebabkan Radzi diperintahkan keluar oleh Johari setelah amaran ketiga untuk Radzi duduk tidak diendahkan.
“Putrajaya diarahkan keluar,” arah Johari.
Keputusan itu menyebabkan semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan. – MalaysiaGazette