KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia pada Ogos 2023 merosot 19.8 peratus atau RM52.7 bilion kepada RM213.0 bilion berbanding RM265.8 bilion pada Ogos 2022.

Ia selaras dengan pengurangan jumlah dagangan, eksport mencatatkan penyusutan 18.6 peratus kepada RM115.2 bilion dan import turun RM26.4 bilion atau 21.2 peratus kepada RM97.9 bilion, tahun ke tahun.

Bagaimanapun, lebihan dagangan terus berkembang, meningkat 0.1 peratus kepada RM17.3 bilion pada Ogos 2023, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Eksport Malaysia pada Ogos 2023 berkurang RM26.4 bilion daripada RM141.5 bilion, selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan
eksport domestik.

Eksport semula berjumlah RM23.2 bilion, menyusut 33.5 peratus berbanding Ogos 2022 manakala eksport domestik bernilai RM92.0 bilion, menyumbang 79.9 peratus kepada jumlah eksport, berkurang 13.8 peratus.

Import turun 21.2 peratus daripada RM124.2 bilion pada Ogos 2022 kepada RM97.9 bilion.

Sementara itu, lebihan dagangan Malaysia pada Ogos 2023 meningkat RM21.1 juta (0.1%) kepada RM17.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun
lepas.

“Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan menguncup
masing-masing 1.4 peratus, 1.6 peratus, 1.5 peratus dan 0.3 peratus berbanding Julai 2023,” Jabatan Perangkaan dalam kenyataan di sini.

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 144 daripada 255 kumpulan barangan eksport dan 172 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan
berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM4.0 bilion), diikuti oleh China (-RM3.7 bilion), Hong Kong (-RM3.2 bilion), Indonesia (-RM2.7 bilion), Jepun (-RM1.8 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.5 bilion), Taiwan (-RM1.5 bilion), Thailand (-RM1.3 bilion), Myanmar (-RM1.2 bilion) dan Afrika Selatan (-RM1.0 bilion).

Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari Taiwan (-RM4.8 bilion) diikuti oleh China (-RM4.4 bilion), Jepun (-RM2.6 bilion), Amerika Syarikat (-RM2.4 bilion), Arab Saudi (-RM2.0 bilion), Republik Korea (-RM1.8 bilion), Indonesia (-RM1.7 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (-RM1.0 bilion).

Mengulas lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan oleh barangan elektrik & elektronik (-RM7.8 bilion); keluaran petroleum (-RM7.8 bilion);
minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.6 bilion); gas asli cecair (-RM1.6 bilion); barangan perkilangan lain (-RM1.6 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM841.0 juta); petroleum mentah (-RM751.6 juta) dan kimia & bahan kimia (-RM669.4 juta).

Sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (-RM9.9 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM5.1 bilion); petroleum mentah
(-RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (-RM2.1 bilion); barangan perkilangan lain (-RM1.4 bilion); gas asli cecair (-RM1.2 bilion) dan arang batu (-RM938.3 juta).

“Penyusutan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih perlahan bagi barangan perantaraan dan barangan penggunaan. Import barangan perantaraan (52.6% daripada jumlah import) bernilai RM51.5 bilion, mencatatkan kemerosotan 22.6 peratus atau RM15.0 bilion.

Barangan penggunaan (8.7% daripada jumlah import) mencatatkan pengurangan 5.4 peratus daripada RM9.0 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.5 bilion.

Sebaliknya, barangan modal bernilai RM10.7 bilion menokok 5.4 peratus berbanding Ogos 2022 dan merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah import.

Di samping itu, terdapat penurunan dalam jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023.

Jumlah dagangan berkurang 8.1 peratus, sejajar dengan penyusutan eksport (-7.6%) serta import (-8.6%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 2.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast