GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan arahan pentadbiran Universiti Malaya (UM) membatalkan pelaksanaan dasar baki sifar (zero balance policy) yang mewajibkan pelajar membayar yuran penuh sesuatu tindakan membebankan pelajar.
Ketua Penerangan MUDA Pulau Pinang, Muhammad Danial Abdul Majeed berkata, dasar yang diperkenalkan itu bukan saja membelakangi pelajar yang tiada bantuan kewangan malah ia turut membelakangi mereka yang tekad untuk terus belajar.
Jelasnya, dasar itu juga secara langsung memaksa pelajar untuk menjelaskan yuran sebelum mendaftar kursus mereka untuk semester berikutnya.
“Saya telah menerima aduan pelajar-pelajar di UM tentang polisi baru pihak pentadbiran yang membebankan sebahagian besar pelajar.
“Malah, bagi mereka yang gagal menjelaskan yuran, mereka tidak boleh mengaktifkan status pelajar di MAYAum.
“Dasar ini juga menyebabkan pelajar-pelajar dari golongan kurang berkemampuan perlu mencari solusi segera bagi membantu mereka kekal sebagai pelajar aktif di UM,” katanya dalam kenyataaan media, hari ini.
Tambah Muhammad Danial, sistem pendidikan negara perlu adil dan inklusif terhadap semua pelajar tanpa sebarang halangan.
“Sehubungan itu, saya menggesa campur tangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin untuk membantu pelajar di UM, tambahan pula Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi membantah polisi itu.
“Sebagai sebuah universiti awam yang ulung, pihak pengurusan UM sepatutnya mendengar rintihan pelajar dan mencari titik tengah di antara pihak pelajar dan pengurusan,” katanya. – MalaysiaGazette