Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mana-mana badan kerajaan mahupun swasta yang mahu terlibat dengan industri nadir bumi (REE) digesa untuk merujuk kepada Agensi Nuklear Malaysia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Langkah itu perlu bagi membolehkan pihak-pihak berkenaan mendapatkan khidmat nasihat atau kepakaran dalam aktiviti pemprosesan dan pengekstrakan unsur nadir bumi dalam negara.

“Antara fasiliti yang tersedia di Nuklear Malaysia adalah melibatkan Loji Perintis Pemprosesan Bahan Mineral, Makmal Pemprosesan Nadir Bumi dan Makmal Analisis dan Pencirian.

“Nuklear Malaysia turut membangunkan tatacara pengendalian piawai (SOP) di skala R&D makmal dalam aktiviti pemprosesan dan pengekstrakan unsur nadir bumi daripada sumber mineral tempatan seperti monazite, xenotime dan ilmenite,” katanya di Dewan Rakyat.

Lih Kang berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan masih mempertimbangkan untuk penggunan tenaga nuklear dalam Malaysia.

“Nuklear Malaysia telah bersedia dalam aspek teknikal dan keupayaan sumber manusia dan kini sedang mempergiatkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman melalui pembangunan bakat teknologi nuklear yang holistik bagi memenuhi keperluan pasaran dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette